Monday 13 October 2014

BAB 6 PEMBENTUKAN MALAYSIA

Pengenalan
Tanah Melayu telah mencapai kemerdekaannya pada 31 Ogos 1957 setelah lebih 400 tahun dijajah oleh pelbagai kuasa luar.  Malaysia lahir enam tahun selepas Tanah Melayu merdeka.  Negara baru ini hasil gabungan Tanah Melayu dengan Singapura, Sabah (Borneo Utara) dan Sarawak.
Idea pembentukan Malaysia tercetus pada 27 Mei 1961 melalui ucapan yang dibuat oleh Perdana Menteri Perselutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman.

1.1.1       Mengelakkan Ancaman dan Pengaruh Komunis
Di Singapura, Parti Tindakan Rakyat (People Action Party – PAP) di bawah pimpinan Lee Kuan Yew mengalami kemerosotan.  Fenomena ini jelas apabila PAP kalah dalam pilihan raya kecil di kawasan Hong Lim pada bulan Mei 1961 dan kawasan Anson pada bulan Julai 1961[1]. PAP juga telah dipengaruhi oleh anasir-anasir komunis sehingga mereka telah berpecah dan membentuk Barisan Sosialis.  Banyak pihak yang khuatir dengan perkembangan ini kerana takut pemerintahan PAP akan diambil alih oleh Barisan Sosialis yang dipengaruhi oleh pemimpin-pemimpin berideologi komunis.  Persekutuan Tanah Melayu juga tidak mahu PAP digulingkan kerana hubungan baiknya dengan Singapura yang meliputi urusan-urusan politik dan ekonomi akan terjejas.  Untuk membendung perkembangan ini dari terus menjadi buruk, kerajaan Perikatan berusaha untuk menggabungakan Singapura, Sabah, Sarawak dan juga Brunei dalam satu negara. 

Pengaruh komunis yang aktif sejak tahun 1950-an telah merebak ke Sarawak.  Misalnya, Liga Belia Demokratik Cina Seberang Laut dan Persatuan Belia Maju Sarawak dipengaruhi oleh anasir-anasir komunis.  Mereka telah dihasut untuk menentang British[2].  Selain itu, Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) juga telah terpengaruh dengan ideologi komunisme.

1.1.2       Memberi kemerdekaan kepada Sabah, Sarawak, Brunei dan Singapura
Menerusi penubuhan Persekutuan Malaysia,  Sabah, Sarawak, Brunei dan Singapura akan mendapat kemerdekaan lebih awal daripada yang dijangkakan.  Dalam perancangan penubuhan Persekutuan Malaysia, Malaysia akan ditubuhkan dalam tempoh lebih kurang dua tahun.

Kerajaan British sebenarnya sedang dalam pertimbangan untuk memberi kemerdekaan kepada tanah-tanah jajahanya.  Namun Sabah dan Sarawak merupakan wilayah jajahan British yang belum bersedia untuk merdeka kerana suasana ekonomi dan politiknya yang kurang memuaskan.  Tunku percaya dengan membawa masuk Sabah dan Sarawak dalam gagasan Malaysia akan mempercepatkan lagi kemerdekaan kedua-dua negeri ini.

Selain itu, pemberian kemerdekaan yang lebih cepat akan mengelakkan penyebaran ideologi komunis.  Ini kerana sekiranya  kemerdekaan tidak diberikan dengan cepat, pihak British khuatir negara tersebut akan dipengaruhi oleh komunis dan akan menyebabkan British akan hilang kepentingan ekonomi dan sosial pada masa akan datang.  Di samping itu, terdapat juga pengaruh-pengaruh luar seperti Filipina dan Indonesia yang berminat terhadap Sabah, Sarawak dan Brunei.

1.1.3       Perkongsian Faedah Ekonomi

Melalui Persekutuan Malaysia, negara-negara anggota akan dapat mengadakan kerjasama ekonomi dan perdagangan.  Negara-negara anggota yang kaya dengan sumber ekonomi boleh membantu negara-negara anggota yang miskin dan kekurangan sumber ekonomi.  Ini bermaksud Sabah dan Sarawak yang belum maju dari segi ekonomi akan dibantu oleh Tanah Melayu, Singapura dan Brunei.

1.1.4       Membela masyarakat Bumiputera di Sabah dan Sarawak
Kebanyakan jawatan dan kegiatan ekonomi di Sabah dan Sarawak dipegang oleh bangsa asing.  Manakala penduduk peribumi hanya terlibat dalam sektor pertanian. 

1.1.5       Menjaga hak dan kepentingan kaum Bumiputera
Pembentukan persekutuan yang terdiri daripada Tanah Melayu, Sabah, Sarawak, Brunei dan Singapura adalah untuk menjaga kepentingan dan kedudukan kaum Bumiputera.  Menurut Tunku Abdul Rahman, gagasan pembentukan Malaysia perlu menggabungkan wilayah-wilayah Borneo kerana percantuman di antara Tanah Melayu dengan Singapura sahaja akan menghilangkah majoriti penduduk Melayu.  Ini kerana singapura mempunyai 80% penduduk bukan Melayu dan apabila dicantumkan ini akan menghlangkan majoriti penduduk Melayu. 

Apabila percantuman antara Tanah Melayu dengan Singapura berlaku bilangan masyarakat Cina ialah 43.5% dan Melayu 43%[3].  Apabila penduduk Sabah dan Sarawak diambil kira, bilangan bumiputera (Termasuk Melayu) akan menjadi 46.3% sementara Cina 42.4%.


1.2            REAKSI SABAH, SARAWAK, BRUNEI DAN SINGAPURA
1.2.1       Sabah
Wujud banyak penentangan pada peringkat awal sehingga lahir bebrapa buah parti politik yang meluangkan penubuhan atas sentimen pro atau anti-Malaysia.  Parti politik pertama di Sabah lahir pada bulan Ogos 1961 dengan penubuhan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (United National Kadazan Organization-UNKO) yang dipimpin oleh Donald Stephens.  Parti ini secara jelas menentang pembentukan Malaysia, malah mula memperjuangkan kemerdekaan Sabah.  Pada bulan Jun 1962 Pasok Momogun Kebangsaan Borneo Utara yang dipimpin oleh G.S. Sundang telah ditubuhkan untuk memperjuangkan kemerdekaan Sabah.

Hanya Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (United Sabah National Organization – USNO) yang dipimpin oleh Tun Mustapha Datu Harun sahaja yang menyokong idea penubuhan ini.[4]  Namun menjelang lewat tahun  1962 dan awal 1963, sebahagian besar penduduknya mula berubah fikiran setelah menerima penerengan mengenai pembentukan Malaysia.

1.2.2       Sarawak
Parti Negara Sarawk (Sarawak United People’s Party – SUPP) dan Parti Kebangsaan Sarawak (Sarawak National Party – SNAP) secara jelas menentang cadangan peggabungan ini.  SUPP ditubuhkan pada 12 Jun 1959 dan dipimpin oleh Ong Kee Hui.  Manakal SNAP diketuai oleh Stephen Kalong Ningkan.  Hanya Barisan Rakyat Jati Sarawak (Berjaya) sahaja yang menyokong cadangan tersebut.
                                
1.2.3       Brunei
Secara peribadi Sultan Brunei iaitu Sultan Omar Ali Saifuddin menyokong pembentukan Malaysia.  Rakyat Brunei juga pada peringkat awalnya berminat untuk menyertai gabungan ini.  Tetapi mereka berpendapat akan menyertai gabungan ini selepas mereka mencapai kemerdekaan terlebih dahulu.

Namun Parti Rakyat Brunei yang dipimpin oleh A.M Azahari telah menentang cadangan tersebut kerana beliau lebih berminat untuk menggabungkan Brunei, Sabah, Sarawak dan Kalimantan Utara ke dalam satu kesatuan.  Ini keran A.M. Azahari berpendapat, pembentukan Malaysia merupakan satu cara kerajaan British untuk mengekalkan pengaruhnya supaya mereka dapat menguasai ekonomi dan dapat menjamin keselamatan.  Selain itu, mereka juga khuatir Brunei akan kehilangan sebahagian besar kekayaanya jika menyertai gabungan ini.

1.2.4       Singapura
Penduduk Singapura berminat dengan konsep Persekutuan Malaysia.  PAP yang dipimpin oleh Lee Kuan Yew menyambut baik rancangan ini kerana mendapati partinya terancam dan kurang mendapat sambutan daripada rakyat Singapura sendiri.  Sementara parti-parti lain seperti Parti Buruh Singapura bersetuju dari segi prinsip tetap menganggap sebagai suatu yang sukar untuk dilaksanakan.  Parti Rakyat Singapura juga menentang gagasan Malaysia kerana berpendapat ia merupakan rancangan British untuk mengekalkan pengaruhnya.

1.3            REAKSI NEGARA ASEAN – INDONESIA DAN FILIPINA
1.3.1       Indonesia
Pada peringkat awal, Indonesia menyokong pembentukan Malaysia asalkan ianya tidak melibatkan negaranya.  Menteri luar Indonesia, Dr. Suhandiri (New York Times – 13 Nov 1961) pernah menyatakan bahawa Indonesia tidak akan menghalang penubuhan ini sebaliknya mendoakan supaya kerajaan Persekutuan Tanah Melayu berjaya dalam rancangannya. 

Walau bagaimanapun, sokongan ini tidak tahan lama apabila Indonesia telah menentang keras dan mengecam pembentukan ini.  Malah mereka juga telah menyokong tindakan Parti Rakyat Brunei menentang Pembentukan Malaysia pada 8 Disember 1962.  Pada 20 Januari 1963, Indonesia telah menyuarakan tentangan dan mengumumkan konfrontasi dengan melaungkan slogan ‘Ganyang Malaysia’.

Pada 11 Februari 1963, Dr. Subandrio mengisytiharkan dengan rasmi penentangan kerajaan Indonesia terhadap pembentukan Malaysia.  Mereka mendakwa bahawa tujuan penubuhan Malaysia adalah untuk menyelamatkan getah, bijih timah dan minyak untuk British.  Faktor-faktor pencetus penentangan ialah:

a)     Sukarno berasa Tunku Adbul Rahman membelakangi jirannya apabila membuat pengumuman tanpa berunding dengannya terlebih dahulu.
b)     Penubuhan Malaysia dipercayai mengagalkan rancangan Sukarno untuk menubuhkan empayar Indonesia Raya (Melayu Raya)
Namun penentangan Indonesia berakhir pada tahun 1965 apabila Sukarno digulingkan dan tematnya diganti oleh Jeneral Suharto.

1.3.2       Filipina
Presiden Macapagal dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan Filipina menuntut hak Filipina ke atas Sabah.  Mereka juga sebenarnya pernah menuntut Sabah dari pada Kerajaan British dengan menghantar sepucuk surat rasmi pada 22 Jun 1962.  Tuntutan ini dibuat kerana mereka mendakwa bahawa Sabah terletak di bawah pemerintahan Kesultanan Sulu suatu ketika dulu.  Bagaimanapun, kerajaan British tidak melayan tuntutan ini dan malah mengingatkan Filipina bahawa sebarang tuntutan mereka ke atas Sabah   sama ada daripada kerajaan Filipina atau orang perseorangan akan ditentang oleh kerajaan British.

Presiden Macapagal telah membuat kecaman secara terbuka terhadap penubuhan ini semasa kongres Filipina pada 28 Januari 1963.  Fenomena ini menyebabkan hubungan diplomatik anatara Persekutuan Tanah Melayu dengan Filipina terjejas.  Walaupun Filipina meneruskan tuntutan mereka selepas penubuhan Malaysia, tuntutan ini gagal keran tinjauan dan siasatan membuktikan penduduk Sabah sendiri rela untuk menyertai pembentukan Malaysia.

1.4            PROSES PEMBENTUKAN MALAYSIA

Proses perbincangan dan perundingan ke arah pembentukan Malaysia sebenarnya sangat panjang dan kompleks.  Banyak perkara yang perlu dipertimbangkan dan diatasi sebelum cadangan ini dapat direalisasikan.  Beberapa tindakan juga perlu diambil kira bagi memastikan pembentukan ini memuaskan hati semua pihak.  Di bawah merupakan jadual proses Pembentukan Malaysia.

            Jadual 4.2 Proses Pembentukan Persekutuan Malaysia
  Jawatankuasa                           Peranan
1
Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia (JPPM)
-     Dipengerusikan oleh Donald Stephens
-     Dianggotai oleh wakil-wakil dari semua wilayah terlibat
-     Berfungsi untuk menerangkan konsep pembentukan Malaysia, khususnya kepada penduduk Sabah, Sarawak dan Brunei.
-     Penggunpul idea dan pendapat-pendapat mengenai rancangan pembentukan Malaysia.
2
Suruhanjaya Cobbold
-     Diketuai oleh  Lord Cobbold.  Ahli lain ialah Anthony Abell, David Waterson, Dato’ Wong Pow Nee dan Tang Sri Mohd serta Ghazalie Shafie.
-     Bertujuan untuk meninjau pendapat penduduk Sabah dan Sarawak
-     Suruhanjaya ini mendapati 80% penduduk Sabah dan Sarawk menyokong pembentukan Malaysia yang kebanyakannya terdiri daripada kaum Bumiputera
3
Jawatankuasa Antara Kerajaan (JAK)
-     Diketuai oleh Lord Landsdowne.   Tunku Abdul Razak Hussein, wakil kerajaan British dan wakil dari Sabah, Sarawak dan Singapura.
-     Membentuk satu perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957, Laporan Suruhanjaya Cobbold dan Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia
-     Perkara utama dalam perlembagaan ini ialah agama Islam, bahasa Melayu, kawalan imigresen, pendidikan dan perwakilan bagi Sabah, Sarawak dan Brunei
4
Referendum Singapura
-     Untuk meninjau pendapat penduduk Singapura
-     Laporan ini mendapati 71% penduduk Singapura menyokong pembentukan Malaysia melalui pilihan A.  Mereka bersetuju untuk bergabung dengan syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh kerajaan Singapura dan Persekutuan Tanah Melayu

1.4.1       Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia
Pada bulan Julai 1961, mesyuarat Persatuan Parlimen Komanwel (PKK) cawangan Tanah Melayu dan Borneo telah diadakan di Singapura.  Dalam mesyuarat ini, pemimpin-pemimpin Tanah Melayu dan Singapura telah menjelaskan konsep Malaysia kepada perwakilan daripada Sabah, Sarawak dan Brunei.  Penerangan ini telah mengurangkan salah faham tentang penubuhan Malaysia.  Hasilnya mesyuarat bersetuju menubuhkan JPPM yang dianggotai oleh semua perwakilan dan Donald Stephens telah dilantik sebgai pengerusinya.  Brunei tidak menggangotai perwakilan dan hanya bertindak sebagai pemerhati sahaja kerana ketidaksedian Brunei menyertai pembentukan Malaysia.
Fungsi-fungsi JPPM ialah:
a)     Menerangkan dengan lebih jelas konsep Malaysia kepada orang ramai. 
b)     Berusaha untuk mendapatkan kata sepakat daripada pemimpin-pemimpin politik di semua daerah terbabit.

Semenjak pembentukan jawantankuasa ini, mereka telah mengadakan perjumpaan sebanyak empat kali iaitu:
a)     Jesselton (Kota Kinabalu) -  21 Ogos 1961
b)     Kuching                             - 18 Disember 1961
c)     Kuala Lumpur                    - 06 Januari 1962
d)     Singapura                         -  01 Februari 1961

1.4.2       Suruhanjaya Cobbold
Ditubuhkan pada  bulan November 1961 setelah rundingan di antara  Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dengan kerajaan Btirish.  Suruhanjaya ini ditubuhkan secara rasmi pada 16 Januari 1962 dan Lord Cobbold telah dilantik sebagai pengerusinya.  Suruhanjaya ini dianggotai oleh
a)               Lord Cobbold (Bekas gabenor Bank England)
b)               Anthony Abell dan David Waterson (Wakil kerajaan British)
c)     Dato’ Wong Pow Nee dan Tan Sri Mohd. Ghazali Shafie (Wakil kerajaan Persekutuan Tanah Melayu)

Matlamat penubuhan Suruhanjaya Cobbold adalah untuk:
a)     Menyiasat fikiran rakyat Borneo utara dan Sarawak berkenaan pembentukan Malaysia
b)               Membuat syor-syor setelah menimbangkan fikiran itu

Suruhanjaya ini telah menjalankan tugasnya selama dua bulan bermula pada 19 Februari 1962 dan berakhir pada bulan April 1962.  Dalam tempoh suruhanjaya telah
a)     Mengadakan 50 perjumpaan di 35 tempat, iaitu 20 di Sarawak dan 15 di Sabah.
b)     Menemui lebih 4000 orang yang mewakili kira-kira 690 buah kumpulan.
c)     Mempelawa dan menerima surat-surat atau memorandum daripada orang ramai untuk menyuarakan pandangan mereka.

Suruhanjaya Cobbold menamatkan penyiasatannya pada 18 April 1962 dan kemudian mengemukakan sebuah laporan penyiasatannya keada kerajaan British dan Tanah Melayu.  Dalam laporan ini, 80% penduduk Sabah dan Sarawak ingin menyertai pembentukan Malaysia.  Secara keseluruhannya, bentuk sokongan masyarakat Sabah dan Sarawak terbahagi kepada tiga, iaitu:
a)     ⅓ menyokong penuh penggabungan tanpa syarat.
b)     ⅓ menyokong tetapi dengan syarat-syarat dan jaminan tertentu
c)     ⅓ mahukan kemerdekaan terlebih dahulu sebelum menyertai gabungan dan separuhnya menentang kerana mahu kekal dalam pemerintahan Brtish (20%).

1.3   JAWATANKUASA ANTARA KERAJAAN

JAK dibentuk untuk merangka syarat-syarat Persekutuan.  JAK dianggotai oleh
a)     Lord Landsdowne (Pengerusi)
b)     Tun Abdul Razak Hussein (Tim. Pengerusi)
c)     Wakil-wakil kerajaan British
d)     Wakil-wakil Sabah, Sarawak dan Brunei.

Laporan yang dibuat menggunakan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 dan laporan Suruhanjaya Cobbold serta cadangan JPPM.  Perlembagaan yang dibentuk telah disahkan oleh kerajaan British pada 9 Julai 1963 (Rujuk lampiran).  Antara perkara yang menjadi teras utama dalam perlembagaan tersebut ialah:

a)     Agama Islam dijadikan agama rasmi bagi seluruh Persekutuan Malaysia, kecuali Sabah dan Sarawak.
b)     Bahasa Melayu dijadikan bahasa rasmi Persekutuan Malaysia, tetapi kelonggaran diberikan kepada Sabah dan Sarawak untuk menggunakan bahasa Inggeris dalam perkara-perkara rasmi selama 10 tahu selepas kemasukan ke dalam persekutuan.
c)     Kuasa kawalan imigresen di Sabah dan Sarawak akan diserahkan kepada kerajaan negeri masing-masing walaupun peruntukan tersebut di bawah kawalan kerajaan pusat.
d)     Sistem pendidikan masih dikekalkan sehingga Majlis Negeri membuat pindaan.
e)     Sabah diberikan 24 perwakilan Parlimen, manakala Sarawak 16 dan Singapura 15 buah kerusi.

1.3.1   Referendum Singapura
Dibuat untuk meninjau pendapat penduduk Singapura untuk mendapatkan kepastian dan pendirian rakyat Singapura berhubung penubuhan Malaysia.  Kerajaan Singapura membuat keputusan ini keran yakin sebahagian besar  parti politik di Singapura menyokong cadangan Malaysia, Cuma pandangan dan pendirian mereka juga perlu diambil kira.  Dalam pungutan suara ini, rakyat Singapura diberi tiga pilihan, iaitu:

a)     Pilihan A – rakyat bersetuju untuk bergabung dengan syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh kerajaan Singapura dan Persekutuan Tanah Melayu melalui Kertas Putih pada bulan November 1961.
b)     Pilihan B – rakyat bersetuju untuk bergabung tanpa syarat dan kedudukan Singapura akan menjadi seperti negeri-negeri Melayu lain di dalam Persekutuan Tanah Melayu.
c)     Pilihan C – rakyat bersetuju untuk bergabung dengan syarat dan faedah yang hampir sama seperti yang diperolehi wilayah-wilayah Borneo dengan menyertai gabungan ini.
Referendum Singapura telah diadakan pada 1 November 1962.  barisan Sosialis dan pihak Komunis yang tidak bersetuju dengan gabungan ini telah memulau pungutan suara dengan membuang undi kosong.  Namu selepas referendum ini selesai, laporan menunjukkan 71% pengundi menyokong pembentukan Malaysia.  Secara keseluruhannya, rakyat Singapura bersetuju untuk menyertai Malaysia dengan memilih syarat A, iaitu pilihan yang dicadangkan oleh kerajaan Singapura sendiri.

1.4   PEMISAHAN SINGAPURA

Selepas pembentukan Malaysia, Lee Kuan Yew menegaskan bahawa walaupun Singapura bersetuju untuk menyertau Malaysia, namun hal-hal yang terkandung di dalam percantuman tersebut mestilah ditentukan bersama-sama dengan rakyat Singapura.

Pada 23 Ogos 1961, satu mesyuarat telah diadakan di antara Singapura dengan Persekutuan Tanah Melayu.  Dalam mesyuarat ini persetujuan telah dicapai berhubung beberapa perkara.  Persetujuan yang  termaktub di dalam Kertas Putih[5] ini menyatakan bahawa
a)     Aspek pertahanan, hubungan luar dan keselamatan akan menjadi tanggungjawab Persekutuan.
b)     Soal pendidikan dan tenaga buruh adalah di bawah bidang kuasa kerajaan Singapura.
c)     Jumlah perwakilan Singapura dalam Dewan Rakyat ialah seramai 15 orang.

Setelah dua tahun berada dalam Malaysia, hubungan Tanah Melayu dengan Singapura mula retak.  Banyak perselisihan mula timbul.  Antara isu yang menjadi perdebatan hangat ialah soal ekonomi, parti dan perkauman.
a)     Tanah Meayu, Sabah, dan Sarawak bersetuju untuk memajukan sektor perindustian dan perkilangan bersama.  Barang-barang yang dihasilkan akan digunakan dalam negeri dan bukannya untuk dieksport.  Keuntungan ekonomi akan dikongsi bersama.  Tetapi apabila Malaysia ditubuhkan tidak banyak kemajuan ekonomi dicapai.  Ini telah menyebabkan Singapura berasa kecewa.
b)     Parti Tindakn Rakyat cuba untuk untuk bertanding dengan Parti Perikatan.  PAP  cuba menarik perhatian orang Cina bahawa MCA tidak mampu untuk membangun dan memajukan orang Cina.
c)     Singapura memperjuangkan persamaan hak dan melancarkan kempen ‘Malaysia untuk Orang Malaysia’.  Singpura telah ,e,bentuk United Opposition Front  yang kuat untuk memperjuangkan konsep persamaan hak dan Malaysia untuk Orang Malaysia.
Pelbagai usaha telah dijalankan oleh Tunku Abdul Rahman untuk meredakan keadaan, tetapi tidak berjaya.  Akhirnya pada bulan Ogos 1965, Singapura telah dikeluarkan dari Malaysia.

KESIMPULAN
Rancangan menubuhkan persekutuan Malaysia yang merangkumi Tanah Melayu, Singapura, Sabah, Sarawak dan Brunei akhirnya telah berjaya dilaksanakan pada 16 September 1963 tanpa kemasukan Brunei.   Namun Singapura telah keluar daripada Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1965.  penubuhan Malaysia telah memberikan banyak faedah kepada Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.


[1] PAP kalah ditangan Ong Eng Guan dari Parti Rakyat Singapura di Hong Lim dan Parti Buruh di Anson.
[2] Merupakan pelajar dan kesatuan sekerja.
[3] Pada tahun 1960, penduduk Melayu dianggarkan berjumlah 50% manakala orang Cina ialah 36.9%.
[4] Parti ini ditubuhkan pada bulan Disember 1961.
[5] Kertas Putih diisytiharkan secara rasmi pada bulan November 1961.


 
 

7 comments:

  1. thanks bagi info ^^ nanti upgrade pasal "bagaimanakah persekutuan malaysia dapat mencapai matlamat pembetukannya"

    ReplyDelete
  2. Ini bab 6 dr buku teks ting 5 ke ?

    ReplyDelete
  3. apa faktor utama british menyokong pembentukan malaysia ??

    ReplyDelete
  4. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete