Monday 13 October 2014

BAB 5 PERJUANGAN KEMERDEKAAN

Pengenalan
Kekalahan British di Tanah Melayu ke tangan Jepun dalam tempoh yang singkat telah menyedarkan British terhadap kelemahan pentadbiran mereka di Tanah Melayu sebelum perang. Kesannya pada Julai 1943, Malayan Planning Unit (MPU) telah ditubuhkan di London untuk merangka perlembagaan baru yang sesuai dijalankan di Tanah Melayu selepas perang tamat nanti. Pada 31 Mei 1944, kabinet perang telah meluluskan syor penyatuan politik Tanah Melayu yang dikemukakan oleh MPU. Pada 10 Oktober 1945, Setiausaha Pejabat Tanah Jajahan British, George Hall, telah mengumumkan parlimen mengenai penyatuan politik Tanah Melayu yang dikenali sebagai Malayan Union (MU). Pada 11 Oktober 1945, Harold MacMichael dihantar ke Tanah Melayu untuk mendapatkan tandatangan sultan-sultan bagi mempersetujui penubuhan Malayan Union. Beliau melaksanakan tugasnya dari 18 Oktober hingga 21 Disember 1945. Parlimen British telah mengeluarkan “Kertas Putih” yang mengandungi cadangan-cadangan Malayan Union.


5.1     CADANGAN-CADANGAN MALAYAN UNION

Cadangan Perlembagaan Malayan Union mengandungi 2 fasal utama, iaitu yang berkaitan dengan pentadbiran dan kerakyatan.
i.                 Pentadbiran
a.               Negeri-negeri Melayu bersekutu (Perak, Selangor, Pahang dan  Negeri Sembilan), Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu (Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu) dan 2 buah Negeri-negeri Selat (Pulau Pinang dan Melaka) digabungkan sebagai satu unit politik yang dikenali sebagai Malayan Union.
b.               Singapura diasingkan daripada Malayan Union  kerana jumlah penduduk Cinanya yang ramai, kedudukan yang strategik dan taraf pelabuhan bebas. Singapura menjadi wilayah berasingan dan ditadbir oleh seorang Gabenor.
c.                Kedudukan sultan-sultan dikekalkan tetapi kekuasaan serta kewibawaan mereka dikurangkan. Sultan tidak mempunyai kuasa dalam pentadbiran. Kuasa Sultan hanya tertumpu dalam hal ehwal agama Islam dan adat resam Melayu, mereka dilantik sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Melayu negeri masing-masing.
d.               Majlis Mesyuarat Negeri dikekalkan sebagai badan yang menguruskan hal-ehwal tempatan tetapi diletakkan di bawah kawalan langsung kerajaan pusat.
e.               Malayan Union  akan menjadi Tanah Jajahan Mahkota British dengan pemusatan pentadbiran yang diketuai oleh Gabenor di Kuala Lumpur.
f.                 Gabenor akan menjalankan pentadbiran dengan bantuan Majlis Mesyuarat Kerja dan Majlis Perundangan Pusat. Selain itu, Majlis Penasihat juga ditubuhkan.
g.               Seorang Gabenor Jeneral dilantik untuk mengawasi pentadbiran Malayan Union, Singapura dan wilayah Borneo.

ii.         Kerakyatan
Perlembagaan Malayan Union  memberi hak dan peluang yang sama kepada semua warganegara tanpa mengira bangsa dan keturunan. Syarat kerakyatan :-

a.               Lahir di Tanah Melayu atau Singapura
b.               Tinggal di Tanah Melayu selama 10 tahun daripada tempoh 15 tahun yang terdahulu sebelum 15 Febuari 1942.
c.                Lahir di luar Tanah Melayu tetapi ibu atau bapa atau kedua-duanya warganegara Malayan Union  .
d.               Mereka yang tidak layak mengikut syarat di atas boleh memohon menjadi warganegara selepas tinggal di Tanah Melayu selama 5 tahun.

5.1.1   Sebab Penubuhan Malayan Union
a.     Keseragaman dan kecekapan
b.     Melahirkan semangat cintakan Tanah Melayu
c.      Mengimbangi perkembangan ekonomi
d.     Persiapan ke arah berkerajaan sendiri
e.     Meneruskan usaha British
f.       Meneruskan penguasaan politik dan ekonomi
g.     membalas dendam
h.     mengenang jasa
i.       Menghalang usaha kea rah kemerdekaan
j.       Menyusun strategi pertahanan


5.2   PENENTANGAN MALAYAN UNION OLEH ORANG MELAYU

            Pengenalan dan penubuhan Malayan Union  telah menimbulkan penentangan hebat dari orang Melayu, sebabnya seperti yang berikut:

            i.          Cara Harold MacMichael mendapatkan tandatangan sultan
Orang Melayu tidak bersetuju dengan cara Harold MacMichael mendapatkan tandatangan Sultan bagi mempersetujui Penubuhan Malayan Union. Semasa diminta menandatangani persetujuan tersebut, sultan-sultan tidak diberitahu cadangan-cadangan yang terkandung dan perlembagaan Malayan Union.

            ii.         Kekuasaan dan kewibawaan Sultan
Penubuhan Malayan Union akan menjejaskan kekuasaan dan kewibawaan Sultan. Walaupun kedudukan Sultan dikekalkan, tetapi kekuasaan dan kewibawaan mereka dikurangkan.

iii.         Hak istimewa
Penubuhan Malayan Union  akan menghapuskan hak-hak istimewa yang dinikmati oleh orang Melayu sebagai bumiputera Tanah Melayu kerana perlembagaan MU memberi hak dan peluang yang sama kepada semua warganegara tanpa mengira bangsa dan keturunan.

            iv.        Hak kerakyatan
            Orang Melayu tidak bersetuju dengan syarat kerakyatan yang longgar mengikut prinsip jus soli. Orang Melayu tidak mahu orang Cina dan India diberi syarat kerakyatan yang longgar kerana mereka masih tidak yakin dengan taat setia orang Cina dan India terhadap Tanah Melayu.

v.                Balas dendam
            Orang Melayu juga menentang Malayan Union  kerana mereka menyedari perlembagaan Malayan Union  merupakan balas dendam British terhadap orang Melayu kerana menyokong Jepun.

vi.              Masa cemas
            Malayan Union  dilaksanakan pada masa cemas dalam hubungan antara orang Melayu dan Cina akibat pemerintahan Jepun.
vii.             Orang Melayu tidak terlibat
Orang Melayu tidak terlibat dalam merangka perlembagaan Malayan Union. Perlembagaan tersebut dirancang oleh Pegawai British dalam MPU di London.


5.2.1   Bentuk Penentangan

i.   Akhbar           -           Akhbar-akhbar telah memainkan peranan penting dalam membangkitkan penentangan orang Melayu terhadap Malayan Union. Akhbar-akhbar telah mendedahkan keburukan dan kerugian yang akan dialami oleh orang Melayu jika Malayan Union  dilaksanakan.

ii.   Kerjasama     -          Sultan-sultan, pembesar-pembesar dan orang-orang Melayu telah bersatu dan berkerjasama dalam usaha menentang Malayan Union. Mereka telah menulis surat kepada Raja British dan bekas pegawai British yang pernah berkhidmat di Tanah Melayu, memohon sokongan mereka terhadap perjuangan orang Melayu.
           
iii.   Kongres       -           Hasil dari daya usaha Kesatuan Melayu Selangor dan  Dato’  Onn
bin Jaafar, Kongres Melayu Se-Malaya diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur pada 1-4 Mac 1946.

iv.   Pemulauan  -           Walaupun mendapat tentangan orang Melayu, british tetap mahu
melaksanakan Malayan Union.

v.   Perkabungan -          Selama seminggu sejak penubuhan Malayan Union, orang   
                                               Melayu telah mengadakan perkabungan untuk menunjukkan          
                                               betapa sedihnya mereka akibat penubuhan Malayan Union.


vi.  Ahli Melayu   -           Menarik diri dalam Majlis Penasihat


5.2.2   Kesan Terhadap Orang Melayu

a.               Kewarganegaraan kaum Cina dan India setaraf dengan orang Melayu dan mereka menjadi bangsa majoriti.

b.               Menggugat politik dan ekonomi Melayu dengan mengikis dan menghilangkan hak istimewa Melayu serta menambahkan jurang perbezaan kekayaan dan kemajuan antara Melayu dan bukan Melayu.

c.                Sultan tidak berkuasa lagi. Kuasa Sultan dalam pentadbiran agama Islam dan adat istiadat Melayu diambil alih oleh Gabenor Malayan Union sebagai contohnya perkara tentang zakat fitrah dibincangkan bersama dan mesti mendapat kelulusan dari gabenor.

d.               Perlantikan ahli Majlis Mesyuarat dilantik oleh gabenor.

e.               Tanah Melayu menjadi negara jajahan dan bukan naungan.

f.                 Terpisahnya Singapura sebagai sebuah negara yang berasingan dan boleh menjejaskan kepentingan orang Melayu Singapura.

g.               Memperlihatkan bahawa MMN dan MMP tidak mempunyai kuasa dalam menentukan arah perjalanan pentadbiran negeri-negeri Melayu.
h.               Wujudnya penyatuan dan perpaduan Melayu dalam UMNO serta gandingan tangan antara UMNO dan Raja-raja Melayu.

i.                 Memperlihatkan kuasa rakyat dalam mempengaruhi raja supaya bertindak mengikut kemahuan orang-orang Melayu. Ini menunjukkan kematangan dan kesedaran yang tinggi dalam membangkitkan rasa nasionalisme Melayu di Tanah Melayu.

5.2.3   Sebab Kegagalan Malayan Union

I.                 Tentangan hebat daripada orang-orang Melayu
II.               Tidak ada sokongan kuat daripada orang bukan Melayu
III.              Konsep yang tidak menguntungkan Melayu
IV.             Ketidaksesuaian masa
V.               Cara pengenalan yang salah
VI.             Tentangan oleh bekas pentadbir-pentadbir Inggeris
-     Dilakukan oleh Pegawai British yang pernah berkhidmat di Tanah Melayu seperti R.O Winstedt, Frank Swettenhem, George Maxwell, Cecil Clementi Smith
VII.       Kesan politik antarabangsa seperti peristiwa perang dingin : Komunis
      –   Kapitalis dan bantahan Russia terhadap penubuhan MU –
           memperlihatkan  wujudnya unsur regim lama sebelum perang   
           dunia ke-2. Ini melanggar piagam PBB yang hendak memberikan
           kemerdekaan kepada negara-negara yang berkemampuan berbuat demikian.
·      Malayan Union dibubarkan pada bulan Julai 1946.
·      Satu rundingan diadakan di antara Edward Gent, raja-raja Melayu dan Dato’ Onn bin Jaafar untuk menggubal satu perlembagaan baru menggantikan perlembagaan Malayan Union .


5.3   PENUBUHAN PARTI-PARTI POLITIK

Parti-parti Politik Utama Selepas Perang Dunia Kedua

5.3.1   Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO)

UMNO ditubuhkan pada 11 Mei 1946 oleh Dato’ Onn Jaafar. Beliau merupakan presiden pertama UMNO. Beliau memegang jawatan ini sehingga tahun 1951. Matlamat jangka pendek penubuhan parti ini ialah penentangan terhadap Malayan Union. Untuk menyatupadukan orang Melayu dan mempertahankan kedudukan istimewa orang Melayu dalam penentangan Malayan Union ini, anggota parti ini berpegang kepada cogan kata “Hidup Melayu”. Perkara ini disuarakan sendiri oleh Dato’ Onn Jaafar semasa perhimpunan UMNO, pada bulan September 1947, UMNO dijadikan sebagai sebuah parti politik. Perlembagaan UMNO telah diluluskan pada 29 Mei 1946 yang memuatkan tujuan, penubuhan bahagian dan cawangannya serta sistem pentadbiran mereka.

5.3.2   Kongres India Malaya (MIC)

MIC ditubuhkan pada 8 Ogos 1946. Presiden pertamanya ialah John Thivy. Tujuan utama MIC ditubuhkan adalah untuk memupuk dan memelihara kepentingan politik, ekonomi dan sosial kaum India di Tanah Melayu, memperjuangkan kepentingan politik bersama bagi seluruh Tanah Melayu serta mewakili kaum India dalam menyampaikan pendapat kepada kerajaan. Pada bulan April 1955, MIC telah masuk e dalam gabungan UMNO dan MCA.. Sehingga tahun 1949, ahli MIC telah mencapai 7000 orang sementara hingga tahun 1955 ahlinya meningkat kepada 20 000 orang.

5.3.3   Persatuan Cina Malaya (MCA)

MCA ditubuhkan pada 27 Februari 1949. Idea penubuhan MCA ini dilahirkan oleh Leong Yew Koh. Presiden pertama MCA IALAH Tan Cheng Lock. MCA mempunyai dua tujuan utama iaitu melindungi hak dan kepentingan orang Cina serta memelihara keharmonian kaum dalam sesebuah negara yang bersatu. Semasa penubuhannya, MCA hanyalah sebuah persatuan kebajikan. Pada tahun 1952, parti ini diisytiharkan sebagai sebuah parti politik secara rasmi. Sehingga tahun 1949, keahlian MCA Ialah 100 000 orang dan meningkat menjadi 188 000 orang pada tahun 1951. Pada tahun 1952, MCA dan UMNO telah membentuk gabungan yang dipanggil Parti Perikatan.

5.3.4   Parti Perikatan

Pakatan parti pelabagai kaum di peringkat negeri ini mendorong kepada pakatan di peringkat pusat. Presiden UMNO, Tunku  Abdul Rahman Putra al-Haj dan Presiden MCA, Tan Cheng Lock telah mengambil keputusan untuk membentuk Parti Perikatan pada tahun 1955. kemudian, pakatan ini disertai pula oleh MIC. Gabungan UMNO-MCA-MIC dalam Parti Perikatan menggambarkan kerjasama antara tiga kaum majoriti di Tanah Melayu. Sokongan padu rakyat terhadap Parti Perikatan terserlah dalam Pilihanraya Umum Persekutuan Tanah Melayu, 1955. Dalam pilihan raya ini, Parti Perikatan memenangi 51 buah kerusi daripada 52 buah kerusi yang dipertandingkan. Kemenangan ini juga melancarkan uasaha seterusnya ke arah rundingan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu kerana kejayaan Parti Perikatan ialah lambang perpaduan dan kesediaan rakyat tempatan untuk memerintah kerajaan sendiri.

5.3.5   Parti-parti Politik Lain

Organisasi/Fahaman
Parti Politik
Ciri-Ciri




Radikal/Sosialis

PKM







AWAS





API





PKMM


PETA

ü  Parti Komunis Malaya (1930)
ü  Parti politik tertua di Tanah Melayu
ü  Ingin mencapai kemerdekaan melalui revolusi, berhasrat untuk menubuhkan Republik Komunis Tanah Melayu

ü  Angkatan Wanita Sedar (1946)
ü  Diketuai oleh Shamsiah Fakeh
ü  Perjuangan kemerdekaan dipengaruhi oleh perjuangan nasionalis di Indonesia

ü  Angkatan Pemuda Insaf (1946)
ü  Diasaskan oleh Ahmad Boestaman
ü  Perjuangan utamanya ialah kemerdekaan bersama Indonesia dan membentuk Melayu Raya

ü  Parti Kebangsaan Melayu Malaya
ü  Diasaskan oleh Dr. Burhanuddin Al-Helmi

ü  Ikatan Pemuda Tanahair Melayu (1947)





Islam


PAS






HASBUL MUSLIMIN

ü  Parti Islam SeMelaya (1951)
ü  Diasaskan oleh Ahmad Fuad Hassan
ü  Mahu mendirikan kerajaan Islam
ü  Memperjuangkan Islam sebagai agama rasmi dan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi

ü  Hizabul Muslimin (1948)
ü  Diasaskan oleh Haji Abu Bakar
ü  Berjuang untuk menubuhkan sebuah kerajaan Islam di Tanah Melayu






Bukan Perkauman


IMP





Parti Negara

ü  Parti Malaya Merdeka (1951)
ü  Diasaskan oleh Dato’ Onn Jaafar setelah keluar daripada UMNO
ü  Memperjuangkan kemerdekaan dalam 10 tahun

ü  Parti Negara (1954)
ü  Diasaskan oleh Dato’ Onn setelah IMP dibubarkan pada tahun 1953 apabila tidak mendapat sokongan
ü  Memperjuangkan kemerdekaan dalam masa 5 tahun



5.4   CADANGAN PERLEMBAGAAN BARU

Setelah Malayan Union dibubarkan, kerajaan British pada 25 Julai 1946 telah melantik Jawatankuasa Kerja untuk menggubal satu perlembagaan baru menggantikan perlembagaan Malayan Union. Ahli Jawatankuasa tersebut terdiri daripada 6 orang pegawai British, 4 orang wakil raja-raja Melayu dan 2 orang wakil UMNO. Jawatankuasa itu telah mencadangkan perlembagaan baru yang berbeza daripada perlembagaan Malayan Union. Perkara-perkara yang dicadangkan ialah :-

i.                 Kedaulatan dan kuasa raja-raja Melayu dipelihara ;
ii.                Syarat-syarat kewarganegaraan yang lebih ketat bagi kaum bukan Melayu ;
iii.               Kedudukan istimewa kaum Melayu dijamin.

Namun perlembagaan ini tidak semestinya diterima oleh golongan lain, khususnya kaum bukan Melayu dan juga kaum Melayu sendiri.


5.5    PERSEKUTUAN TANAH MELAYU (PTM)

·      Akibat daripada kegagalan Malayan Union, Malayan Union telah dibubarkan pada bulan Julai 1946. Sehubungan dengan itu satu rundingan diadakan antara Edward Gent dan raja-raja Melayu serta Dato’ Onn untuk menggubal satu perlembagaan baru menggantikan perlembagaan Malayan Union.
·      Kerajaan Inggeris akhirnya bersetuju menggantikan Malayan Union dengan satu bentuk pemerintahan baru yang dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu. PTM ditubuhkan pada 1 Februari 1948. Sistem pentadbiran ini masih terus mendapat tentangan daripada sesetengah golongan.


5.6   PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN TANAH MELAYU

ü  Malaysia mempunyai Perlembagaan bertulis
ü  Dikuatkuasakan pada 31 Ogos 1957
ü  Digubal oleh Suruhanjaya Reid yang diketuai oleh Lord Reid, Sir Ivor Jenning (British), Sir William Mckell (Australia), B. Malik (India), dan Hakim A. Hamid (Pakistan).
ü  Digubal berdasarkan 131 memorandum yang diserahkan oleh parti politik dan Pertubuhan Tanah Melayu.


Kesimpulan

Akibat tentangan orang Melayu dan perakuan Edward Gent serta Malcolm MacDonald, maka British telah menghantar satu perwakilan ahli Parlimen British yang diketuai oleh L.D Grammant dan D.R William untuk meninjau kehendak orang Melayu. Hasil daripada laporan mereka, British bersetuju membubarkan MU dan menubuhkan Persekutuan Tanah Melayu pada  1 Februari 1948. Persekutuan  Tanah Melayu menjadi lindungan British. Dalam perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu, hak-hak istimewa orang Melayu dan kekuasaan serta kewibawaan sultan dikekalkan. Selain itu, syarat kerakyatan telah diperkenalkan. 

No comments:

Post a Comment