Monday, 13 October 2014

BAB 3 HUBUNGAN ETNIK DI MALAYSIA

3.1     Pengenalan

Pengertian Terhadap Etnik dan Ras
Ras (Race) adalah kumpulan manusia yang terdiri daripada lelaki dan perempuan yang berkongsi ciri-ciri biologi tersendiri yang diwarisi, dan dapat dibezakan dengan jelas dalam masyarakat (Macionis, 1998:214). Pada suatu ketika dahulu, manusia pernah dibahagikan kepada kategori Caucasoid, Mongoloid, Negroid dan Australoid dengan berdasarkan kepada perbezaan fizikal seperti warna kulit, warna rambut, rupa bentuk dan lain-lain.
Walau bagaimanapun pembahagian sedemikian adalah secara kasar sahaja kerana memang terdapat golongan yang sukar diklasifikasikan ke dalam mana-mana kumpulan ras. Ini adalah kerana manusia sentiasa bergerak, bersosial, berinteraksi dan perkahwinan campur sering berlaku di antara satu sama lain. Kesannya akan menghasilkan golongan baru yang mempunyai keturunan campuran yang tidak dapat digolongkan ke dalam mana-mana kumpulan ras.
Menurut Academic American Encyclopedia (Volume 16:37), ras boleh didefinasikan sebagai teori atau falsafah yang menyatakan seseorang mewarisi ciri-ciri seperti warna kulit, rupa bentuk, warna rambut, tingkat laku, kelakuan atau tahap intelektual. Pengertian sedemikian menyebabkan sesetengah manusia mengangggap kaum mereka adalah lebih unggul daripada kaum lain.
Penyalahgunaan konsep ras dalam konteks ini menyebabkan berlakunya prasangka dan diskriminasi di antara golongan tertentu di dalam dunia. Walau bagaimanapun, pengertian ini telah disangkal oleh Encyclopedia of Religion. Sebaliknya menurut Encyclopedia of Religion (Volume 12:184), manusia tidak sepatutnya dikelaskan mengikut ras. Manusia adalah dalam satu kelas yang sama dan setara. Tiada manusia yang lebih baik atau lebih handal daripada yang lain semata-mata kerana perbezaan warna kulit, rupa bentuk dan sebagainya.
Pada hakikatnya, ras memang sukar untuk didefinasikan dengan jelas dan tepat kerana telah berlaku campur aduk golongan yang tulen disebabkan migrasi dan perkahwinan campur. Ramai ahli sosiologi turut bersetuju dengan pendapat sedemikian. Contohnya, Van den Berghe (1967), berpendapat bahawa istilah ras itu mengelirukan kerana ianya mempunyai empat pengertian utama.
  1. Ras digunakan sebagai satu konsep biologi untuk membezakan manusia atas dasar perbezaan "phenotype" dan "genotype". Walau bagaimanapun, tiada sebarang persetujuan yang dicapai oleh ahli antropologi dan sosiologi dan kebelakangan ini pengertian ini telah pun ditolak oleh sebahagian besar pakar sains sosial.
ii.     Ras juga digunakan untuk memperihalkan suatu kelompok manusia yang mempunyai   
        beberapa ciri kebudayaan yang sama seperti bahasa dan agama (Misalan: ras
        Perancis dan ras Yahudi).
iii.     Ras juga digunakan secara longgar sebagai erti sekata dengan perkataan spesis
         (species). (Misalan: ras manusia).
iv.    Ras juga digunakan untuk merujuk kepada suatu kelompok manusia yang
         menganggap diri atau dianggap oleh kelompok lain sebagai berbeza daripada
         kelompok-kelompok mereka atas dasar perbezaan fizikal yang tidak dapat diubah.
Namun begitu, Van den Berghe menegaskan bahawa hanya pengertian keempat sahaja sesuai digunakan dalam konteks sains sosial.
Etnik (ethnic) pula tidak dipengaruhi oleh faktor biologi tetapi ianya merujuk kepada golongan yang berkongsi budaya yang diwarisi (Macionis, 1998:215). Golongan dari etnik yang sama akan mempunyai kesamaan dari segi asal-usul, bahasa dan agama. Sebagai contoh, di bekas negara Yugoslavia, etnik Serb, Croatia dan Bosnia secara fizikalnya adalah sama (sama ras) tetapi mereka berbeza dari segi budaya, bahasa dan agama. Pada dasarnya ras dan etnik adalah hampir sama dari segi pengertian dan bagi mengelakkan kekeliruan, konsep "kelompok etnik" digunakan bagi merujuk kepada golongan-golongan yang berbeza dari segi kebudayaan, kepercayaan, adat resam, bahasa, agama dan sebagainya.
Walau bagaimanapun, dari segi amalan perbezaan di antara konsep ras dan etnik kadang-kala menjadi kabur dan kedua-duanya digunakan secara saling-ganti seperti di Malaysia, di mana kelompok-kelompok Melayu, Cina dan India yang sepatutnya dikenali sebagai kelompok-kelompok etnik juga dipanggil kelompok-kelompok ras dalam keadaan tertentu.[1]

3.2     Pendekatan Menyatupadukan Masyarakat Malaysia

Akulturasi
Ia merupakan proses yang kadang kala dikenali sebagai asimilasi budaya. Ia terjadi apabila manusia dalam kumpulan minoriti menerima norma, nilai dan pola-pola tingkah laku (budaya) golongan majoriti. Proses ini merupakan proses meminjam atau menerima unsur-unsur budaya asal.

Difusi
Proses penyebaran unsur-unsur kebudayaan dari satu individu kepada individu yang lain dan daripada satu masyarakat kepada masyarakat yang lain.

Asimilasi
Pemaduan bermacam jenis atau berbagai-bagai unsure menjadi satu (seperti pemaduan unsur-unsur daripada kebudayaan yang berlainan menjadi satu kebudayaan).

Integrasi
Penggabungan/pergabungan dua atau beberapa kaum (unsur, bahagian dll) menjadi satu kesatuan. Menjalin integrasi nasional terutama dalam konteks negara Malaysia sendiri iaitu masyarakat majmuk.


3.2.1    Sejarah Hubungan Kaum

Sebelum sesebuah masyarakat mencapai tahap integrasi, ia biasanya melalui lima tahap perubahan. Tahap tersebut adalah seperti yang berikut:-

i.                 Tahap hidup secara co-existance
Pada tahap ini kaum-kaum yang berbeza latar belakang mempunyai hubungan yang minimum (sedikit).

ii.                Tahap kekerapan kontak luaran
Kekerapan kontak adalah didasari oleh adanya saling pergantungan untuk kepentingan hidup seperti apabila ada pengkhususan dari segi ekonomi. Tahap ini jelas berlaku di zaman penjajahan Inggeris dan menjelang kemerdekaan.

iii.               Tahap kompromi
Setelah kaum-kaum berkenaan menyedari kepentingan bersama, mereka merasakan perlu berkompromi (bertolak-ansur) demi untuk menjaga kepentingan bersama. Biasanya kompromi ini berlaku di dalam bidang ekonomi dan politik.

iv.              Tahap perpaduan
Sekiranya kaum-kaum yang ada di dalam masyarakat hidup berkompromi dan semakin banyak kerjasama maka ada kecenderungan mereka akan hidup bersatu padu dalam kebanyakan perkara seperti sosial, ekonomi, budaya dan politik.

v.                Tahap integrasi
Kerjasama antara kaum lama kelamaan boleh mewujudkan perasaan. Hubungan ini bukan didasarkan kepentingan tetapi juga oleh rasa tanggungjawab di antara mereka telah berkongsi nilai yang sama.

3.3     Cabaran Pembinaan Negara Bangsa

i.                 Prasangka
Ia merupakan sikap terhadap kumpulan-kumpulan lain yang berasaskan generalisasi-generalisasi umum (stereotaip) atau penjenisan atas bukti-bukti yang tidak konkrit.

ii.                Perkauman
Ia merupakan sikap mementingkan kumpulan etnik sendiri.
iii.               Etnosentrisme
Ia merujuk kepada kepercayaan bahawa unsur-unsur budaya sendiri adalah lebih agung (superior) daripada unsur-unsur budaya lain.

3.3.1     Penyebab dan Pengukuh Penghalang Integrasi.
Prasangka, perkauman dan etnosentrisme merupakan batu penghalang kearah merealisasikan integrasi nasional disebabkan oleh berbagai faktor sosial, kebudayaan, ekonomi dan juga faktor fizikal. Setiap faktor saling berhubungan seperti dibawah :-

i.                 Kejahilan tentang kumpulan-kumpulan etnik lain
Terbatas atau kurang kefahaman tentang cara hidup, keadaan hidup dan juga masalah-masalah kaum lain. Ini akan mengakibatkan kuranglah rasa menghargai dan menghormati kaum lain tadi.

ii.                Proses pemasyarakatan yang terbatas dalam kumpulan etnik sendiri

Proses pemasyarakatan (sosialisasi) di kalangan sesuatu kumpulan etnik di Negara kita tidak menggalakkan pendedahan kepada unsure-unsur budaya lain.
iii.               Politik perkauman
Pada umumnya, politik perkauman masih merupakan satu ciri penting politik negara. Parti-parti pembangkang, misalnya, masih lantang menyuarakan isi hati dan tuntutan satu-satu kaum tertentu.

iv.              Perbezaan sosio-ekonomi
Perbezaan sosio-ekonomi di kalangan berbagai kaum di negara kita, yang sekian lama kita kaitkan dengan sejarah penjajahan dan kini dengan factor structural yang sememangnya merupakan satu faktor besar yang menyebabkan rasa tidak puas hati di kalangan setengah-setengah pihak.

v.                Perbezaan kebudayaan
Perbezaan kebudayaan memang mudah mencetuskan rasa prasangka, perkauman dan etnosentrisme yang kesemuanya boleh menggugat integrasi nasional.

vi.              Segregasi (Pemisahan Fizikal)
Segregasi fizikal menyebabkan kesukaran kontak fizikal dan mengakibatkan sesuatu kumpulan etnik tidak kenal dengan kumpulan etnik lain, terutamanya yang tinggal di wilayah-wilayah yang berbeza.


Perpaduan
-        Perpaduan ialah proses penyatuan daripada semua aspek seperti fizial,sosial, ekonomi dan juga politik tetapi tidak termasuk biologikal.
-        Ia juga didefinasikan sebagai satu proses bagi mewujudkan satu identiti nasional di kalangan kumpulan yang terpisah dari segi kebudayaan, sosial dan lokasi dalam sesebuah unit politik.

Tragedi 13 Mei 1969 Sebagai  Pemangkin Kepada Usaha Meningkatkan Taraf Perpaduan Rakyat Malaysia.

-        Perpaduan menjadi matlamat utama sesebuah Negara, terutama Negara yang mempunyai masyarakat berbilang kaum seperti Malaysia. Ini kerana apabila tiada perpaduan ataupun perpaduan pada tahap yang sangat rendah , pertelingkahan rakyat berbilang kaum akan sering berlaku. Fenomena ini boleh menimbulkan ketidakamanan dan banyak kemusnahan. Pandangan ini terbukti apabila tercetusnya satu peristiwa berdarah di negara ini pada 13 Mei 1969.
-        Akibat semangat perkauman dan perasaan saling mencurigai ini, berlaku juga rusuhan beberapa kali tetapi tidak terlalu serius dan masih boleh dikawal. Rusuhan-rusuhan tersebut adalah pada tahun 1957 di Pulau Pinang,  1960 di Pulau Pangkor, 1964 di Bukit Mertajam, 1965 di Kuala Lumpur dan juga pada tahun 1967 di Pulau Pinang.



Masalah-Masalah Perpaduan Kaum Rakyat Malaysia

i.                 Pemisahan tempat tinggal atau petempatan
ii.                Perbezaan tumpuan sektor ekonomi
iii.               Pengasingan sistem pendidikan
iv.              Fahaman dan pengaruh politik yang berbeza
v.                Masalah ekonomi
vi.              Perbezaan kepercayaan dan agama
vii.             Penggunaan akhbar yang berbeza-beza
viii.            Pemerintahan Jepun di Tanah Melayu

Penyelesaian Masalah Perpaduan Kaum

i.                 Memberi Galakan Kepada Penduduk Untuk Berhijrah Dari Satu Kawasan Ke Kawasan Lain
Menempatkan penduduk disatu-satu kawasan boleh menggalakkan pergaulan dan pertembungan yang lebih kerap.
ii.                Penyeragaman Sistem Pendidikan (Melalui Dasar-Dasar Pelajaran) Dasar-dasar pelajaran seperti Penyata Barnes, Penyata Fenn-Wu, Undang-undang Pelajaran 1952, Penyata Razak, Penyata Rahman Talib, Dasar Pendidikan Kebangsaan dan lain-lain dasar yang berhubung dengan isu pendidikan yang berperanan untuk memupuk perpaduan.
iii.               Peranan Media Massa
Media massa penting dalam memastikan penguasaan media massa asing, terutama dari Negara China dan India yang lebih menyebarkan fahaman, ideologi dan senario politik di negara tersebut.
iv.              Integrasi Ekonomi
Usaha ini dilakukan melalui dasar-dasar pembangunan seperti Rancangan Pembangunan Lima Tahun, Dasar Ekonomi Baru, Dasar Pembangunan Nasional dan lain-lain.
v.                Penyatuan Fahaman Politik
Sistem kerajaan campuran (campuran dari segi pelbagai kaum) merupakan salah satu cara bagi menggabungkan fahaman politik antara kaum. Sistem ini dikembangkan melalui sistem politik yang fleksibel.
vi.              Aspek-Aspek Sosial Lain
Langkah memupuk perpaduan cuba dicapai dengan pengenalan dan penerapan dasar sosial seperti Rukun Negara, Dasar Belia Negara, Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan lain-lain.

Strategi Pemantapan Perpaduan
Kerajaan berpendapat negara memerlukan peranannya dalam memastikan nilai yang ingin diterapkan dalam memupuk perpaduan dapat dilaksanakan. Justeru beberapa dasar telah diperkenalkan oleh kerajaan bagi tujuan membentuk dan memantapkan perpaduan. Dasar ini meliputi semua aspek sama ada sosial, ekonomi dan politik. Dasar tersebut berperanan penting dalam memastikan semangat perpaduan. Dasar tersebut adalah seperti yang berikut:-

i.          Dasar-dasar pendidikan -
                        a.         Dasar pendidikan tahap awal
                        b.         Dasar pendidikan peringkat kedua
                        c.         Sistem pendidikan Aneka Jurusan

Perkembangan Sistem pendidikan Malaysia
-        Ia meliputi dua fasa iaitu :-
a.               Fasa pertama
b.               Fasa ke-dua

ii.         Dasar Ekonomi Baru (DEB) 
Diperkenalkan pada tahun 1970, terutamanya sebagai reaksi kepada peristiwa 13 Mei 1969. ia dilaksanakan dalam tempoh 1971 hingga 1990 sebagai satu rancangan pembangunan ekonomi dan perpaduan dalam masyarakat berbilang kaum.

iii.        Dasar Kebudayaan Kebangsaan
Idea untuk mewujudkan Dasar Kebudayaan Kebangsaan timbul hasil daripada gagasan Kongres Kebudayaan Kebangsaan 1971. Dasar ini digubal agar dapat menjadi garis panduan dalam membentuk, mewujudkan dan mengekalkan identiti negara di kalangan dunia antarabangsa.
  
iv.        Rukun Negara
Rukun Negara merupakan satu ideologi negara yang tercipta ekoran daripada berlakunya peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969. Ideologi ini digubal semasa negara sedang berada di bawah pimpinan MAGERAN  dan badan yang bertanggungjawab atas penggubalannya ialah Majlis Perundingan Negara (MPN). Kata sepakat untuk mencipta satu ideologi negara ini dicetuskan semasa mensyuarat pertama MPN iaitu pada 27 Januari 1970. 
           

No comments:

Post a Comment